Monday, February 23, 2009

PEGUAM: PERKATAAN 'ALLAH' BOLEH DIGUNA DALAM PENERBITAN KRISTIAN

Berita Harian Singapura, 28 Februari 2009
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan berkaitan agama Kristian tidak lagi dilarang seperti terkandung dalam warta baru yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia awal tahun ini.
Peguam Kanan Persekutuan, Encik Nizam Zakaria, yang mewakili Pejabat Peguam Negara, memaklumkan mahkamah bahawa Menteri Dalam Negeri, selaku responden pertama dalam prosiding semakan kehakiman itu yang difailkan oleh Ketua Paderi Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur, telah mewartakan perintah bertarikh 21 Januari 2009 bertajuk Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penggunaan Perkataan Tertentu Pada Dokumen dan Penerbitan) 2009.
Warta itu menyebut 'Percetakan, penerbitan, penjualan, pengedaran dan pemilikan apaapa dokumen dan penerbitan berhubungan agama Kristian yang mengandungi perkataan 'Allah', 'Kaabah', 'Baitullah' dan 'Solat' adalah dilarang melainkan jika di kulit muka depan dokumen dan penerbitan itu ditulis perkataan, 'Untuk Agama Kristian'.
Perintah itu diwartakan pada 16 Febuari lalu dan berkuatkuasa pada tarikh itu.
Berikutan perkembangan itu, peguam, Encik Porres P. Royan, yang mewakili pemohon, Ketua Paderi Datuk Murphy Pakiam, memaklumkan Hakim Lau Bee Lan bahawa mereka akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara berhubung implikasi perintah tersebut.
'Jika selepas perbincangan kami rasa selesa, dengan itu jelas perkara ini mungkin tidak perlu diteruskan dan didengar. Kami akan maklumkan kepada mahkamah jika kami mencapai penyelesaian.
'Masih terlalu awal untuk kami membuat keputusan,' katanya sambil memohon kepada mahkamah untuk memberikan masa dua hingga tiga bulan bagi kedua-dua pihak, sebelum menetapkan tarikh perbicaraan bagi permohonan semakan penghakiman itu. -- BHM.

No comments:

Post a Comment